Anak Tantrum? Ini Panduan, Penjelasan & Solusi Untuk Parents
Setiap ibu bapa pasti pernah berdepan dengan situasi di mana anak-anak menunjukkan perilaku yang sukar dikawal, seperti menangis teresak-esak, menjerit, atau berguling di lantai. Perilaku ini dikenali sebagai anak tantrum. Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menimbulkan cabaran besar dalam perjalanan keibubapaan anda.
Anda pasti terkejut akan perubahan sikap yang berlaku kepada anak anda. Ada juga ibu bapa muda yang risaukan ianya adalah gangguan makhluk halus dan sebagainya. Hakikatnya, ia adalah perubahan karakter seorang bayi menjadi anak kecil.
Apa Itu Tantrum?
Tantrum merujuk kepada ledakan emosi yang ditunjukkan oleh anak-anak, biasanya berupa tangisan, teriakan, atau perilaku agresif lainnya seperti membaling barang dan mencederakan diri sendiri. Ia sering berlaku apabila anak tidak dapat mengungkapkan keinginannya dengan kata-kata kerana merasa sedih, marah dan kecewa.
Ya, bayi seawal umur 1 tahun juga mampu menunjukkan emosi seperti kecewa!
Kajian : Anak Tantrum, Apa Nak Buat?
Kenapa Tantrum Terjadi?
Tenang, sebenarnya ada banyak faktor dan sebab kenapa anak anda tantrum. Antara penyebab utamanya adalah :
1. Tak Mampu Nak Keluarkan Emosi.
Anak anda mungkin merasa sedih, marah atau kecewa tetapi tidak tahu bagaimana menyatakannya kepada anda. Caranya? Mereka tantrum untuk menonjolkan emosi yang mereka alami.
2. Tak Dapat Apa Diinginkan.
Apabila anak anda tidak mendapatkan apa yang diinginkannya, mereka akan merasa kecewa. Hal ini boleh terjadi dalam pelbagai situasi, perkara, masa dan tempat. Anda cuma perlu bersedia.
3. Penat & Lapar.
Anak kecil (2 tahun – 3 tahun) lazimnya cepat merasa penat dan letih. Mereka juga cepat lapar dan cenderung menjadi lebih mengada-ngada, cerewet tanpa sebab dan mudah marah.
Bila Fasa Tantrum Bermula?
Tantrum biasanya bermula seawal umur 1 tahun hingga 3 tahun, ketika anak anda mula mengembangkan kesedaran diri dan keinginan untuk mencuba sendiri. Namun, setiap anak adalah unik, dan umur mula tantrum dan tempoh tantrum boleh berbeza mengikut setiap anak hatta dilahirkan dari rahim yang sama.
Baca : Persediaan Menjadi Bapa Mithali Untuk Anak-Anak
Apa Itu Terrible Two?
“Terrible two” adalah istilah yang menggambarkan perubahan suasana hati dan perilaku anak pada umur 2 tahun yang cenderung negatif, seperti sering mengamuk, menjerit dan menangis.
Kajian : Cara Tangani Terrible Two
Apa Itu Threenagers?
“Threenagers” merujuk kepada anak umur tiga tahun yang menunjukkan perilaku mirip remaja, seperti keras kepala, ingin bebas, dan sering menolak arahan dari ibu bapa dan penjaga mereka.
Baca : 4 Tahap Mendidik Anak Cara Rasulullah
Solusi Anak Tantrum
Menghadapi anak tantrum memerlukan kesabaran dan strategi yang tepat. Beberapa langkah yang boleh diambil termasuk:
1. Tetap Tenang
Anda sebagai ibu bapa perlu tenangkan emosi anda terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan emosi anak anda. Anak anda sebenarnya inginkan perhatian dan galakan dari anda sahaja.
2. Cari Punca Secepat Mungkin.
Selagi anda tak tahu dan tak faham punca anak anda tantrum, selagi itulah mereka akan kekal dalam ‘tantrum mode’. Kenali benda, situasi, perkara dan tempat yang buat anak anda marah, kecewa, tidak selesa dan takut.
3. Alihkan Perhatian.
Cara paling mujarab adalah angkat / dukung anak anda dari tempat dan situasi tersebut ke tempat yang lebih senyap, tenang dan pujuklah anda anda dengan mainan, makanan, nyanyian dan lain-lain.
4. Tetapkan Satu Batas Pada Anak.
Anda perlu ajar anak anda berulang kali dengan penuh kasih sayang dan lembut akan apa yang mereka boleh buat dan apa yang mereka tidak boleh buat. Dan anda perlu berlapang dada jika mereka ambil lebih 1000 kali untuk faham kerana mereka hanyalah anak kecil.
5. Bagi Pujian.
Seperti orang dewasa, anak kecil juga sukakan pujian lagi-lagi dari orang yang mereka sayang dan percaya yaqni anda! Beri tepukan, kata-kata positif dan tunjukkan yang anda bangga dengan apa yang mereka buat.
“Anak-anak adalah anugerah yang membawa kebahagiaan. Hadapi tantrum mereka dengan cinta dan kesabaran, kerana setiap fase adalah langkah menuju kedewasaan mereka.”
Baca : Cara Mendisiplinkan Anak Menjadi Berjaya (Masa & Panduan)
Menghadapi anak tantrum adalah sebahagian daripada perjalanan menjadi ibu bapa yang mematangkan dan penuh warna dan warni. Dengan pemahaman tentang penyebab dan fasa perkembangan seperti terrible two dan threenagers, anda dapat lebih bersedia dan tenang dalam menghadapi situasi tersebut.
Ingatlah, setiap cabaran dalam mendidik anak mempunyai penyelesaian, dan keibubapaan adalah perjalanan pembelajaran yang tiada hentinya.
Ketahuilah, satu hari nanti fasa ini akan berakhir dan anda akan tertawa tatkala terkenangkan perilaku anda dan anak saat itu.