20 Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak (Bayi – Dewasa)
Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka—dari saat bayi membuka mata buat kali pertama, hinggalah mereka melangkah ke alam dewasa. Namun, dalam perjalanan panjang yang penuh cabaran ini, ramai ibu bapa terjebak dalam pelbagai kesilapan dalam mendidik anak, sama ada disedari atau tidak.
Realitinya, kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak boleh berlaku pada setiap fasa kehidupan anak—bayi, kanak-kanak, remaja, hingga dewasa dan juga boleh terjadi dek tabiat buruk. Mendidik bukan sekadar memberi makan dan pakaian. Ia tentang membina karakter, emosi, prinsip hidup dan hubungan kekeluargaan yang sihat.
Tanpa ilmu dan pendekatan yang tepat, ibu bapa boleh terjerumus dalam kesilapan yang akhirnya menjejaskan perkembangan emosi, mental, dan sosial anak. Lebih membimbangkan, kesilapan ini bukan sahaja memberi kesan jangka pendek, malah mampu terbawa hingga dewasa, menjadikan hubungan anak dan ibu bapa renggang, penuh luka, dan sukar dipulihkan.
Baca : Persediaan Menjadi Bapa Mithali Untuk Anak-Anak
Artikel ini bukan artikel biasa. Ia ditulis dari seorang bapa untuk ibu bapa—yang percaya setiap ibu bapa perlu belajar dari kesilapan ibu bapa lain kerana tiada buku manual dalam jihad menjadi ibu bapa bukan sahaja di Malaysia bahkan di Malaysia.
5 Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak (Bayi)

1. Tak Beri Pelukan Secukupnya
Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa bayi sangat memerlukan sentuhan untuk perkembangan emosi. Kekurangan pelukan boleh menjadikan bayi kurang yakin dan sukar membina hubungan emosi pada masa hadapan.
Peluklah bayi anda setiap hari sepuas hati untuk menenangkan mereka dan sebagai satu cara untuk demonstrasi yang anda ada untuk mereka. Selepas mereka mencapai usia 5 tahun, anda akan mula merindukan pelukan hangat yang anda pernah berikan pada mereka suatu ketika dulu.
2. Biar Bayi Menangis Terlalu Lama
Ada mitos mengatakan membiarkan bayi menangis dapat “mendidik” mereka. Ini tidak tepat. Bayi menangis kerana keperluan. Mengabaikan tangisan boleh menanam rasa tidak selamat dalam diri mereka.
Bahkan, ada kajian yang mengesahkan terdapat mesej pada setiap jenis tangisan bayi kita. Apa yang anda boleh buat adalah, belajar keperluan dan kehendak bayi anda.
3. Terlalu Bergantung Pada Gajet / TV
Ramai ibu bapa kini menggunakan skrin sebagai alat untuk mendiamkan bayi. Ini adalah satu kesilapan mendidik anak zaman moden yang boleh menjejaskan perkembangan otak dan interaksi sosial bayi.
Kajian menunjukkan ada pertalian di antara screentime yang cenderung menjadikan seorang bayi itu menjadi autism.
4. Tak Bina Rutin Tidur Yang Konsisten
Tidur penting untuk tumbesaran bayi. Tanpa rutin tidur yang tetap, bayi akan mudah meragam dan ibu bapa pula akan keletihan—menjadikan suasana rumah tidak harmoni.
Anda perlu sediakan ruang dan suasana tidur yang selesa dan konsisten untuk bayi anda supaya mereka tahu “ini masa untuk tidur.”
5. Terlalu Takut Bayi ‘Manja’
Memenuhi keperluan bayi bukan memanjakan. Sebenarnya, ia membina keyakinan dan kepercayaan yang menjadi asas penting dalam hubungan ibu bapa dan anak.
Bayi anda mungkin kelihatan manja, tetapi itulah psikologi seorang bayi. Mustahil untuk bayi berdikari seperti seorang manusia berumur 25 tahun.
Baca : 11 Cara Didik Anak Lelaki Menjadi Insan Mulia
5 Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak (Kanak-Kanak)

1. Tak Konsisten Dalam Disiplin
Ada masa marah, ada masa biarkan. Inilah punca anak keliru dan tidak tahu batas. Konsistensi penting dalam membentuk disiplin yang berkesan.
Anda perlu ajar tentang disiplin menguruskan diri dan asas adab kepada kanak-kanak seawal 3 tahun supaya mereka tahu nilai moral.
2. Terlalu Mengongkong atau Tidak Langsung Mengawal
Mengongkong boleh membuat anak takut mencuba. Tidak mengawal pula boleh menyebabkan mereka membesar tanpa had sempadan. Cari keseimbangan.
Jangan halang anak yang ingin berlari di padang, tetapi jangan biarkan mereka lari menuju ke tebing sungai yang curam.
3. Kurang Meluangkan Masa Berkualiti
Bermain dan bersembang dengan anak bukan membuang masa. Ia menguatkan emosi dan menjadikan mereka lebih terbuka berkongsi perasaan.
Apa yang menyedihkan, majoriti kanak-kanak di Malaysia sebenarnya tidak mendapat masa berkualiti dengan ibu bapa mereka yang kedua-duanya sibuk bekerja dan pulang kepenatan.
4. Membandingkan Anak Dengan Orang Lain
Ini antara kesilapan mendidik anak paling biasa—dan paling menyakitkan. Setiap anak unik. Bandingan hanya menanam rasa rendah diri atau dendam dalam hati mereka.
Jangan sesekali membandingkan anak-anak anda satu dengan lain, apatah lagi dengan anak orang lain. Setiap manusia itu unik dan tiada dua.
5. Tidak Mengajar Tentang Emosi
Anak-anak perlu dibimbing tentang bagaimana mengenali dan mengawal emosi. Jika tidak, mereka membesar menjadi individu yang mudah marah, cemas atau tidak tahu meluahkan dengan betul.
Disebabkan itulah, ada anak-anak yang menjerit, memukul dan mencederakan diri sendiri kerana mereka tidak tahu cara mengekspresikan emosi mereka.
Fasa ini kerap terjadi buat kanak-kanak berumur 2 tahun yang memasuki fasa ‘terrible two’ dan berumur 3 tahun yang memasuki fasa ‘threenagers’.
Baca : 4 Tahap Mendidik Anak Cara Rasulullah (Flow & Solusi)
5 Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak (Remaja)

1. Tidak Mendengar dan Terlalu Banyak Mengarah
Remaja mahu didengar, bukan sekadar diarahkan. Jika ibu bapa gagal menjadi pendengar, anak akan mencari “pendengar lain” yang mungkin tidak baik untuk mereka.
Cuba dengar pendapat mereka dan logik pemikiran mereka sungguhpun kita tahu jelek dan membosankan. Jangan mengarah terlalu banyak, sebaliknya tunjukkan dengan hikmah dan logik disebalik tindakan anda.
2. Terlalu Cepat Menghukum
Reaksi spontan menghukum tanpa memahami situasi hanya menjauhkan anak. Ia menggalakkan mereka berbohong dan menyembunyikan masalah.
8 dari 10 remaja yang terjebak dengan gejala sosial datang dari ibu bapa yang tidak memahami anak mereka dan hanya tahu menghukum.
3. Tidak Menjadi Contoh Yang Baik
Anak remaja lebih mudah meniru daripada mendengar nasihat. Jika ibu bapa cakap tak serupa bikin, anak akan hilang rasa hormat dan percaya.
Jika anda ingin anak anda bangun pagi, anda perlu kejutkan mereka dan solat Subuh bersama. Bukan sekadar menakutkan mereka dengan azab neraka sedangkan anda sendiri pun subuh gajah.
4. Abaikan Kesihatan Mental Remaja
Stres akademik, perbandingan sosial, isu identiti—remaja hari ini sangat terdedah dengan masalah mental. Mengabaikan hal ini adalah antara kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak remaja yang paling kritikal.
Statistik terkini menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dalam kes bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia. Pada tahun 2022, sebanyak 1,142 kes bunuh diri dilaporkan dalam kalangan remaja, meningkat 81% berbanding 631 kes pada tahun 2020.
Faktor penyumbang kepada masalah ini adalah kerana :
-
Kemurungan: 26.9% remaja mengalami kemurungan, dengan kadar lebih tinggi dalam kalangan perempuan (36.1%) berbanding lelaki (17.7%).
-
Tekanan hidup: Masalah keluarga, tekanan perasaan, dan masalah kewangan dikenal pasti sebagai punca utama.
-
Persekitaran sosial: Remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) menunjukkan kadar pemikiran bunuh diri sebanyak 13.4%, dipengaruhi oleh tekanan ekonomi dan persekitaran rumah yang sempit.
5. Tak Bercakap Tentang Nilai dan Prinsip Hidup
Nilai seperti jujur, tanggungjawab dan integriti perlu dipupuk sejak awal. Tanpa bimbingan nilai, anak remaja mudah terpengaruh dengan rakan atau media sosial.
Anda perlu mula bercakap seperti orang dewasa kepada anak anda yang memasuki usia remaja kerana fasa ini adalah fasa di mana karakter mereka sedang dibentuk oleh orang sekitar dan masyarakat.
Cuba beri mereka faham nilai jujur, kewangan, ekonomi dan topik lain yang berat yang mencabar supaya anda dan anak mempunyai diskusi yang lebih lama.
Baca : Cara Mendisiplinkan Anak Menjadi Berjaya
5 Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak (Dewasa)

1. Masih Mahu Mengawal Kehidupan Anak Dewasa
Anak yang sudah berkahwin atau bekerja perlukan ruang untuk buat keputusan. Hal ini kerana, mereka kini sepenuhnya bertanggjungjawab atas masa depan mereka.
Campur tangan berlebihan boleh menyebabkan konflik yang sukar dipulihkan dan sudah terlalu banyak kes di mana penglibatan ibu bapa dalam kehidupan anak yang sudah dewasa hanya memburukkan lagi keadaan.
2. Tak Hormat Pilihan & Gaya Hidup Anak
Memaksa anak ikut cara kita hanya menjauhkan hubungan. Hormat tidak bermakna setuju, tapi memahami hak mereka membuat pilihan.
Kita kena faham yang mereka dibesarkan dalam zaman, persekitaran dan cabaran yang berbeza dengan kita. Apa yang boleh dilakukan adalah beri peluang untuk anak anda jelaskan tentang pilihan & gaya hidup mereka asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
3. Tidak Menerima Kesilapan Lampau
Ramai ibu bapa enggan mengaku kesilapan mereka terdahulu. Anak dewasa yang memendam luka masa kecil akan sukar melepaskan jika ibu bapa terus menafikannya.
Trauma waktu kecil yang anda tinggalkan sebenarnya tidak pernah hilang pun. Bahkan, menjadi satu cop mohor kekal dalam psikologi anak.
Akui yang anda pernah silap sebagai first-time parents kepada anak dan mintalah mereka maafkan anda dengan merendah diri.
4. Masih Mengharapkan Anak Jadi ‘Anak Kecil’
Ibu bapa perlu terima bahawa anak telah berubah. Mereka kini ada pandangan, prinsip, dan cara hidup sendiri.
Tidak sesuai jika dalam fasa ini, anda masih risaukan dengan siapa dia berkawan, jenama pakaian yang dia gayakan dan makanan yang mereka perlu makan setiap hari.
Dalam fasa ini, mereka sepatutnya sudah cukup matang untuk tahu semua itu berdasarkan prinsip dan cara hidup yang anda terapkan berpuluh tahun lamanya.
5. Bercakap Macam Budak-Budak Dengan Anak Dewasa
Cara bercakap dengan anak kecil tidak sesuai lagi. Belajar untuk berbual, bukan berleter. Ini akan menjadikan hubungan lebih erat dan matang.
Buat mereka seperti orang dewasa. Ambil pendapat, nasihat dan teguran mereka yang relevan. Boleh jadi, anak-anak kitalah yang menjadikan kita lebih pandai saat otak kita sudah mula tumpul untuk membaca dan berfikir kelak.
Baca : 21 Aktiviti Bersama Anak (Aktiviti Indoor & Outdoor)
“There is no such thing as a perfect parent. So just be a real one.” – Sue Atkins
Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak berlaku pada semua peringkat usia—bayi, kanak-kanak, remaja, dan dewasa. Namun, apa yang membezakan ibu bapa yang berjaya adalah mereka yang sedar, belajar dan berubah.
Jangan ulang kesilapan lama dan jangan sesekali abaikan suara hati anak. Dan jangan malu untuk belajar semula tentang erti keibubapaan.
Ingat, semua masalah ada jalan penyelesaian. Dalam konteks ini, menjadi ibu bapa bukanlah satu masalah. Ia adalah satu perjalanan—penuh cabaran, pelajaran, dan peluang untuk kita menjadi lebih baik setiap hari.
Kita hidup setiap hari bukan satu hari. Maka, kita ada banyak kali untuk perbetul 1 kesilapan yang kita pernah buat. Jadi ibu bapa yang lebih baik 1% setiap hari.