BAPA MITHALI

Kenapa Perlu Berseni Untuk Jadi Bapa Mithali?

Sebelum memulakan proses menulis Seni Bapa Mithali ini, saya telah jalankan kaji selidik terhadap 11 bapa berusia di antara 30 tahun – 45 tahun di seluruh Malaysia. 70% daripada hasil tulisan ini adalah berdasarkan maklum balas kaji selidik tersebut. 

Tulisan ini bukanlah panduan atau buku manual menjadi bapa. Tiada seorang bapa pun di dunia ini mempunyai cara proven menjadi bapa, suami dan ketua keluarga.

Apa yang ada hanyalah, kompilasi pengalaman orang terdahulu dan contoh baik yang boleh kita ambil untuk menjadi bapa mithali. 

Sebagai pemula, ada 5 sebab penting kenapa lelaki perlu menjadi seorang bapa mithali terutama mereka yang telah dikurniakan cahaya mata :

Cipta keseimbangan di antara ibu

Sistem kekeluargaan tidak akan mampu berdiri kukuh jika hanya ibu yang berfungsi dalam membentuk & mendidik anak.

Bapa sebenarnya memainkan peranan yang lebih besar untuk memastikan anak-anak menjadi manusia. 

Sebuah kediaman yang dipanggil rumah memerlukan kehadiran seorang ‘bapa’ yang tugasnya tidak akan selesai selagi hayat dikandung badan.

Bina dunia yang lebih baik untuk anak

Andai kata bapa kita seorang yang kaki maki dan kaki marah, itu tidak bermakna anda (baca : bapa) perlu mewarisi benda negatif itu. 

Jadilah penamat kepada cara membesarkan anak secara “abusive”, zalim dan tidak empati kepada anak-anak. 

Hari ini anda akan menjadi bapa yang anda perlukan waktu kecil dahulu.

Lawan ketakutan yang melemaskan dada

3 daripada 10 orang bapa yang menjawab kaji selidik Seni Bapa Mithali ini tidak bersedia tatkala anak mereka dilahirkan, walaupun mereka tahu 9 bulan lebih awal.

40 daripada 110 lelaki yang pertama kali menjadi bapa masih lagi ada rasa ‘takut’ dengan tanggungjawab dalam menjadi suri teladan dan contoh untuk anak mereka. 

Ketakutan itu boleh dibunuh dengan ilmu dan pengalaman orang lain yang lebih dahulu menjadi bapa sebelum kita.

Tahu apa boleh dikawal & apa tak boleh dikawal

Menjadi bapa merupakan sebuah aktiviti ‘full-time’ bukan ‘part-time’ mahu pun ‘freelance’. Jadi, anda perlu tahu apa yang anda boleh berikan kepada anak-anak. 

Tertekan kerana  tidak mampu beri apa yang di luar genggaman anda tak akan ubah apa-apa. Hidup tetap perlu diteruskan.

➎ Tinggalkan generasi yang diberkati

Dipetik daripada sebuah cerpen :

“Bilamana kamu kahwini perempuan yang cantik, rumahtangga akan bertahan 3 tahun.

Dan apabila kamu kahwini perempuan yang pandai memasak, rumahtangga akan bertahan 30 tahun.

Akan tetapi, jika kamu kahwini perempuan yang cerdas akalnya, 3 generasi kamu diberkati.”

Bukan salah anda kalau anda tak pernah :

  • Ada bapa yang sebenar
  • Ada suri teladan & idola waktu kecil
  • Belajar tentang menjadi seorang bapa

Tapi, anda bersalah kalau mewarisi ketidakadaan itu. Sudah tiba masanya, anda putuskan rantaian toksik itu.

Kenapa Ramai Bapa Tidak Gembira?

☯ Berkahwin dengan perempuan salah

Masalah bermula apabila seorang lelaki berkahwin dengan wanita yang salah. Apabila wanita yang dikahwini itu tidak sekufu dari sudut rupa paras, cara fikir, harta dan keturunan, lelaki mudah menjadi ‘overthinking’.

Kesannya, struktur keluarga menjadi goyah. Tugas kita (lelaki) bukan sahaja membesarkan anak, tapi mencari ibu yang baik untuk anak kita.

Boleh jadi rumah tangga tidak harmoni kerana salah seorang (suami/isteri) gagal jalankan tanggungjawab dan hak pasangan mereka.

☯ Kebangkitan ideologi feminisme

Ideologi ini mencabar sistem masyarakat konvensional. Walhal hak kesaksamaan di antara jantina yang sebenarnya bagus untuk beberapa sudut sahaja seperti mendapat pendidikan, hak mengundi dan sebagainya. 

Namun tidak sesuai jika ‘hak kesaksamaan’ ini dilakukan dalam keluarga.

Mereka beranggapan, wanita ada hak untuk tidak ambil bahagian dalam hidup berkeluarga bahkan berhak menentukan jalan hidup mereka tanpa ada campur tangan orang lain termasuk wali.  

Ada juga golongan feminisme yang lebih ekstrim merasakan yang idea wanita duduk di rumah dan membesarkan anak adalah lapuk dan menekan bakat sebenar wanita.

Wanita-wanita seperti ini sebenarnya melihat jalan perkahwinan bukan sebagai kemuncak dalam kehidupan mereka.

☯ Jurang realiti vs jangkaan

Setiap suami inginkan hubungan yang romantik, kehidupan berkeluarga yang stabil dan karier yang bagus. Siapa tidak mahu kenaikan pangkat dan gaji setiap tahun?

Hakikatnya, dunia tidak bergerak seperti itu realitinya. Mustahil untuk anda jalani hubungan yang romantik setiap hari, keluarga yang stabil dan karier yang baik sepanjang masa. 

Kita lelaki, akan sentiasa diuji samada melalui rumah tangga, kehidupan berkeluarga dan karier.

☯ Tak tahu bila untuk berhenti

Ramai bapa beranggapan, mereka wajib menyediakan segalanya untuk anak mereka. Mereka berasa malu dan kecewa dengan diri sendiri jika anak mereka terpaksa bersusah-susah dalam hidup. 

Sedangkan, mereka cuma perlu sediakan keperluan dan tunjukkan jalan yang benar untuk anak mereka terokai dunia ini. 

Dunia yang kita lalui berbeza dengan anak-anak kita kelak. Cabaran yang kita hadapi hari ini mungkin jenaka untuk mereka dan cabaran yang mereka hadapi kelak mungkin sekadar ramalan untuk kita hari ini.

☯ Matlamat menjadi bapa tak jelas

Adakah hidup sekadar berkahwin dengan kekasih di waktu muda, meniduri isteri di malam hari, membesarkan anak dengan penuh kepayahan lalu melihat mereka pergi bila dah tiba masanya?

Setiap bapa kena ada sebab dan alasan yang cukup besar (Why) untuk menjadi bapa supaya, mereka tahu caranya (How).

☯ Tak ada ruang untuk diri sendiri

Pada peringkat awal menjadi seorang bapa, ramai lelaki ‘clueless’ sejauh mana tanggungjawab mereka dalam mengasuh dan membesarkan anak mereka. 

Sebesar mana dan sejauh mana tanggungjawab yang mereka perlu tampung? 

Kesannya apabila seorang bapa tak tahu parameter menjadi bapa, mereka hilang segalanya tentang diri mereka. 

Mereka akan kehilangan masa untuk diri sendiri dan secara tak langsung merasa dunia dan zaman mereka sudah berakhir kerana perlu fokus membesarkan anak. 

Padahal, boleh sahaja libatkan anak dengan aktiviti yang mereka minati seperti bersukan, memancing, melancong dan sebagainya.

☯ Tak hidup dengan potensi yang ada

Apabila sudah berkeluarga, ramai lelaki yang lupakan cita-cita mereka secara total. 

Ada juga yang masih kekal dalam misi mencari potensi diri. Ada juga yang terus meninggalkan misi itu. Isunya, ramai lelaki beranggapan yang potensi diri adalah bakat terpendam semata-mata. 

Sedangkan, bakat terpendam adalah rezeki yang sudah tersedia. Lelaki hanya perlu yakin dan gunakan rezeki itu sedaya yang mungkin untuk naikkan kualiti hidup mereka. 

Tulisan ini wujud sebagai bahan sokongan kepada lelaki yang menjadi bapa dan masih berperang dengan diri sendiri. 

Jika anda tiada role model atau mencari panduan untuk membesarkan budak kecil, anda adalah sebab tulisan ini wujud. 

Ketiadaan bapa dalam hidup kanak-kanak adalah wabak yang mula melanda masyarakat kita.

Tentang Plagiarisme

Khusus untuk content writer dan pembina kursus online yang mengambil hasil kerja saya untuk kepentingan peribadi mereka. Sila ambil maklum tentang plagiarisme. Saya menyimpan dokumen Panduan dan Seni saya di GitHub. Anda akan dikesan sekiranya mengambil hasil kerja saya dan menerbitkannya di website anda.

Saya akan berikan pautan untuk anda dapatkan Seni : Bapa Mithali ini dalam bentuk PDF di akhir panduan ini.

Anda boleh print dan tulis nota pada PDF itu nanti dalam proses membantu minda anda menyusun framework, struktur, tips & strategi yang dikongsikan dalam panduan ini. 

Rujuk butang di bawah ini untuk pergi ke pautan pertama yang akan dimulakan dengan Menjadi bapa, satu penghormatan.

Mula : Menjadi bapa, satu penghormatan

3 fasa lelaki akan diuji dengan keikhlasan.

mehmed aezhad

Newsletter

Saya baca dan tulis artikel terbaik berkaitan bapa mithali setiap bulan. Dalam setahun, saya hanya akan hantar dua email terbaik (nonspammy).

Join newsletter saya untuk dapat email tersebut.