TUGAS SEORANG
BAPA

Tugas Seorang Bapa

Pernahkah anda terfikir, apakah tugas seorang bapa? Dan apa yang perlu dibuat untuk membesarkan anak menjadi seorang yang berdaya tahan?

Kenapa 'berdaya tahan'?

Berdaya tahan adalah satu keupayaan yang hanya boleh dicapai dengan keyakinan yang tinggi dan pengalaman hidup.

Bukan setakat mempunyai kekuatan otot, tetapi ada kekuatan mental dan rohani. Berdaya tahan bermaksud menahan sabar dengan diri sendiri, sabar dengan situasi dan sebarang kekangan hidup. 

Adakah cukup sekadar menyediakan rumah, memberi makan & minum, menyediakan pakaian dan membelikan mainan untuk anak-anak sudah mencukupi?

Atau beri pendidikan yang terbaik buat anak-anak?

Kita boleh bersetuju yang semua poin di atas adalah tanggungjawab asas seorang bapa. 

Syeikh Ahmad Kutty dari Islamic Institute of Toronto menyebut bahawa, para ulama telah menyenaraikan tugas hakiki bapa untuk anak-anak iaitu :

• Persekitaran & suasana rumah yang baik untuk perkembangan anak.

• Mengajarkan ajaran Islam sebenar kepada anak seawal umur 7 tahun.

• Mengajarkan gaya hidup Islam yang positif seperti kasih sayang & belas kasihan.

Masa Yang Singkat Untuk Menjadi Bapa

“Sebaik-baik hadiah seorang bapa kepada anak, adalah akhlak yang indah.”

Kita tak pernah sangka anak lelaki dan anak perempuan kita memerhati segala-galanya, dan akhirnya meniru kita mengikut kemampuan mereka. 

Apa yang menyedihkan adalah, kita semua ada kurang lebih 10 tahun sahaja untuk menjadi kawan baik dan orang paling digemari anak-anak kita di dunia. 

Masa itu akan habis hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun selepas mereka kenal kawan baru, kekasih dan pasangan mereka. 

Jadi, jangan pernah rasa terlambat untuk memulakan benda baharu lebih-lebih lagi menjadi versi bapa yang terbaik untuk anak kita dalam kehidupan ini.

“Tugas kita sebagai bapa, adalah menyiapkan seorang manusia menjadi orang yang berguna kepada masyarakat dan legasi ini diteruskan berulang kali kepada generasi selepas kita.”

Dalam proses di atas, ada 5 tugas seorang bapa yang anda perlu tahu :

➊ Penaung

Sebagai bapa, kita perlu menjadi penaung pertama kepada anak bermula dengan memberi nama yang baik selepas anak dilahirkan. 

Kita juga adalah asas jalur keturunan anak-anak kerana di akhirat kelak, setiap manusia akan dipanggil dengan nama bapa mereka.

➋ Guru Hidup

Setiap bapa mesti menjadi peminat nombor 1 anak mereka, bukan menjadi pengkritik. Majoriti atlet yang mendapat pingat emas di Olimpik mempunyai persamaan yang sama iaitu “bapa mereka adalah peminat nombor 1 mereka.”

Sebagai guru hidup, kita bertanggungjawab mengajarkan survival skill untuk menjadi kuat atau menjadi pandai.

➌ Ketua Keluarga

Adat ketua keluarga, kita kena ajarkan disiplin dan tanggungjawab kepada semua anak-anak dengan adil dan tanpa pilih kasih. Berhati-hati, anak-anak boleh hidu ketidakadilan dalam kepemimpinan kita. 

Sebagai ketua keluarga, tanggungjawab kita untuk cipta satu rutin yang melibatkan semua ahli keluarga. Rutin semudah mengemas rumah dan memasak.

➍ Penyedia Nafkah

Sebelum bernikah lagi, kita sedia maklum segala keperluan dan kelengkapan yang perlu disediakan untuk berumah tangga. Masih ingat lagi struggle dan pedih mengumpul modal untuk berkahwin?

Menjadi bapa, proses ini bukan proses once in a lifetime (sekali seumur hidup), tetapi proses lifetime (seumur hidup).

➎ Suami Yang Baik

Apa lagi yang lebih menggembirakan anak-anak bila melihat ibu dan bapa mereka saling menyayangi dan saling melengkapi antara satu sama lain?

“Hadiah terbaik bagi anak-anakmu adalah mencintai dan memperlakukan ibu mereka dengan lembut dan penuh hormat.” – Mario Teguh

Kita Sebagai Anak Yang Ada Bapa

Jangan lupa, kita juga ada tanggungjawab yang belum selesai sebagai seorang anak yang ada bapa. Ada benda dan barang yang kita warisi dari mereka. 

Hanya anda yang tahu samada yang anda warisi itu adalah dendam, trauma, ilmu atau hikmah. 

Lakukan tiga benda ini untuk dapat kualiti hidup yang lebih sebagai seorang bapa :

1. Maafkan bapa kita
2. Putuskan rantaian toksik
3. Tegur & menasihati bapa kita (jika masih hidup)

Mereka ada hak untuk dihormati, dan disayangi walaupun mereka bukan bapa yang sempurna. 

Tiada bapa yang sempurna. Tiada bapa yang ada handbook menjadi bapa yang sebenar di dunia. 

Setiap bapa ada cabaran mereka yang tersendiri dengan :

  • Fiil orang rumah sedia ada
  • Cabaran hidup/kerja/kewangan
  • Tingkah laku setiap anak berbeza
  • Keadaan semasa yang mencabar
  • Jeritan batin mereka yang ingin capai sesuatu

Jika anda semakin tua, ingatlah bapa kita juga semakin tua. Inilah masanya, putuskan rantaian toksik. Beri ketenangan kepada diri anda. 

Baca : Kesimpulan

Rangkuman kolektif dari seni bapa mithali.

 
mehmed aezhad

Newsletter

Saya baca dan tulis artikel terbaik berkaitan bapa mithali setiap bulan. Dalam setahun, saya hanya akan hantar dua email terbaik (nonspammy).

Join newsletter saya untuk dapat email tersebut.