ASAS MENJADI BAPA

Asas Menjadi Bapa

Jika anda seorang bapa, mustahil anda tidak pernah mengimpikan kehidupan bahagia dan ingin dipandang sebagai bapa mithali oleh anak-anak anda. 

Soalnya, apakah teknik & rutin untuk mencapai darjat bapa mithali itu? Atau sekurang-kurangnya formula bersifat ‘pemula’ untuk menjadi bapa yang lebih elok berbanding bapa kita?

Dalam bab ini, anda akan didedahkan dengan asas menjadi bapa mithali. Untuk pengetahuan anda, ada 2 komponen dalam seni menjadi bapa mithali iaitu :

1. Didik Diri Anda
2. Besarkan Anak Yang Baik

❶ Didik Diri Anda

Pernahkah anda terfikir untuk membaiki nilai diri dan kualiti hidup anda? 

Saya percaya setiap bapa yang membaca tulisan ini sekurang-kurangnya, pernah terfikir akan perkara ini walaupun ianya mungkin sekadar lintasan dalam hati sahaja. 

Didik diri sendiri sebenarnya satu transformasi & hijrah untuk menjadikan diri anda lebih matang, Ia bermula dengan mengubah cara fikir, mengubah rutin hidup dan menetapkan matlamat hidup yang realistik.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka” – Surah Ar-Rad (Ayat 11)

Orang yang paling faqih dan bertanggungjawab atas diri kita adalah kita sendiri. Bukanlah ibu bapa, kawan sekolah, isteri apalagi anak kita. 

Segala trauma di zaman kanak-kanak dan remaja yang membentuk anda hari ini adalah pelajaran hidup terbesar yang perlu anda lepaskan. Jika ia tinggalkan kesan negatif, perlu anda patahkan dan murnikan agar berimpak positif. 

Langkah pertama untuk menjadi bapa mithali adalah dengan didik diri (raise yourself). 

Perlu anda tahu yang kanak-kanak sebenarnya memerlukan kawan, bukan majikan atau mandur yang mengawasi pergerakan dan percakapan mereka di rumah. Mereka rimas, tertekan dan akhirnya memberontak. 

“Anak-anak cuma datang dari kita, bukan datang untuk kita.”

Kita sebagai bapa juga tak boleh memaksa anak-anak untuk mendukung idea kita dan mengabaikan sepenuhnya idea mereka. Kita, melalui zaman kanak-kanak yang berbeza dengan anak kita. Hormatilah mereka.

➋ Besarkan Anak Yang Baik

Semua bapa nak anak-anaknya membesar dalam keadaan bahagia, beradab dan baik. Tapi, apa sebenarnya maksud “baik” itu? Dan bagaimana nak realisasikannya?

“Baik” boleh difahami sebagai “mempunyai kualiti yang diperlukan dalam masyarakat” atau “bagus dari segi moral & etika.”

Ada 9 tips untuk besarkan anak yang baik :

1. Bercakap dengan perasaan
2. Tunjuk beza simpati & empati
3. Cipta satu hobi bersama anak
4. Ajar mereka adab bermasyarakat
5. Ajar mereka hormati kepelbagaian
6. Latih mereka dengan disiplin diri
7. Latih mereka dengan tanggungjawab
8. Ajar mereka cara bersyukur yang betul
9. Jadi contoh baik terlebih dulu pada anak

Nak Mula Dari Mana?

Sebaik sahaja anda menjadi bapa, adalah tugas dan tanggungjawab anda untuk menjadi 100% lurus di jalan yang benar. 

Normal untuk bapa inginkan anak-anaknya menjadi versi manusia yang lebih baik daripada dirinya. 

Tapi, dalam proses itu anda sebagai bapa perlu 100% tepat & betul dengan cara fikir, jalan hidup & disiplin diri. 

Mana mungkin kita mampu pastikan anak kita 100% lurus di jalan yang benar kalau kita sendiri 50% berada di jalan yang salah dan tidak mahu berubah.

“Bapa adalah seperti pengurus kelab bola sepak. Perlu sentiasa ada di perlawanan bola sepak, tapi tak boleh masuk ke dalam padang dan bermain untuk mereka!”

Untuk mula latih dan didik diri menjadi bapa mithali, anda boleh ikut langkah-langkah di bawah :

1. Hapuskan rutin/tabiat buruk dalam hidup
2. Hapuskan gangguan (distraction) harian
3. Pulihkan hubungan anda dengan ibu bapa
4. Set rutin hidup yang buat anda sihat, kaya & bijak
5. Dekatkan diri dengan Pencipta
6. Tetapkan matlamat & objektif hidup yang realistik

3 Cara Jadikan Anak Versi Terbaik Mereka

Seorang bapa sentiasa inginkan anak-anaknya berjaya. Jika anak berjaya, secara teknikal bapa pun berjaya kerana membesarkan & mendidik orang yang berjaya. 

Hakikatnya, anak-anak akan berhadapan dengan situasi yang kita tak pernah duga dan bayangkan pun. Pandangan mereka tentang kejayaan juga berbeza dengan kita.

“Tugas kita sebenarnya, menjadikan anak-anak versi terbaik diri mereka.”

Ini 3 cara jadikan anak anda versi terbaik diri mereka berdasarkan perkongsian Ryan Holiday :

1. Bantu Anak Cari Jalan Hidup
2. Jadi Peminat Terbesar Anak
3. Tunjuk, Bukan Paksa

➊ Bantu Anak Cari Jalan Hidup

Ayah, bapak, walid, papa & daddy adalah guru falsafah hidup pertama kita sewaktu kecil. 

Sebagai orang yang hidup lebih awal berbanding anak anda, tugas anda adalah untuk kenal potensi anak kerana setiap manusia ada ratusan jalan hidup yang mereka boleh ceburi. 

Bapa merupakan individu yang menyedari potensi dan jalan hidup yang paling sesuai dengan anak. 

Jangan kecewa jika jalan hidup mereka berbeza dengan jalan hidup kita. Itukan hidup dia?

➋ Jadi Peminat Terbesar Anak

Untuk menjadi johan antarabangsa, anda perlu menjadi johan rumah sukan terlebih dahulu. 

Semua benda besar dalam hidup memang memakan masa dan modal. Bapa yang baik akan memilih untuk menjadi peminat terbesar anak-anak berbanding menjadi pengkritik. 

Dalam temu bual di antara wartawan Business Insider dengan 3 atlet yang berjaya mendapat pingat emas di Olimpik 2020, mereka mempunyai satu persamaan yang sama.

Bapa mereka adalah peminat terbesar & kawan baik mereka yang menjadi pendukung semenjak awal penglibatan mereka dalam sukan.

Sunisa Lee, atlet gimnastik dari USA yang mendapat pingat emas di temasya sukan Olimpik 2020 mendedahkan yang :

“Bapa saya adalah peminat no 1 dan rakan baik saya. Saya takkan berada di sini tanpanya.”

➌ Tunjuk, Bukan Paksa

Lazimnya, bapa akan terdorong untuk mendorong anak-anak mengikut jalan yang mereka rasa betul. 

Tapi, bukan semua orang ada citarasa hidup yang sama dengan kita. Apatah lagi mereka yang hidup berpuluh tahun dengan kita dan menyaksikan segala turun naik yang kita lalui dalam menempuh jalan itu. 

Apa yang anda boleh buat adalah, tunjukkan kepada mereka jalan hidup yang anda rasa baik, berdasarkan pengalaman yang anda lalui. 

Tapi, jangan kecewa jika mereka berbeza pendapat dan memilih jalan hidup yang berbeza dengan kita. 

Tak cukup lagi kah kawan-kawan kita yang terpaksa ambil ijazah perubatan & jurutera dan akhirnya memilih jalan hidup lain?

Putuskan rantaian toksik itu.

Baca : Mencipta masa berkualiti dengan anak

Guna 7 cara proven ini bersama anak anda. 

mehmed aezhad

Newsletter

Saya baca dan tulis artikel terbaik berkaitan bapa mithali setiap bulan. Dalam setahun, saya hanya akan hantar dua email terbaik (nonspammy).

Join newsletter saya untuk dapat email tersebut.